Halaman

Jumaat, 19 Mac 2010

PADA ZAHIR RAJA DISEMBAH, PADA BATIN RAKYAT YANG MEMERINTAH

Jang,
Banyak betul komen tak boleh faham tentang tulisan saya, mulai sekarang akan saya cuba sedaya upaya menulis dalam bahasa melayu baku. Terima kasih atas segala pandangan dan ingatan tersebut. Saya berbangga sekali mendapat teguran, sebab, sahabat adalah kawan yang ikhlas menegur kawannya. 

Sebenarnya, saya mahu mengingat-ingatkan anda tentang simpulan bahasa, petatah-petitih, perbidalan atau dalam bahasa kerennya (glamour), metafora alam Melayu yang sedar tidak sedar, kelihatannya telah mula menghilang daripada menjadi buah bibir masyarakat Melayu di pasaran sekarang. Pada umumnya penutur awam bahasa Melayu amat gersang daripada bidalan ini, barangkali ini disebabkan kerana ia telah tidak diajarkan dalam system pendidikan kita sekarang

Jang,

Sebenarnya yang tersirat dalam ‘yang indah itu bahasa’, jika diremas diperas-peraskan bahasa tersebut, maka inti patinya adalah simpulan bahasa. Dalam simpulan bahasa, tersimpan seribu makna, kearifan, ketajaman, keindahan, bermata banyak  ‘bergelimang’ menjadi satu.  (gelimang ertinya bercampur menjadi satu, tapi hanya dalam konteks makan sahaja, biasanya orang Melayu kalau makan, mereka akan menggaulkan sekali nasi dan lauk pauk yang ada dipinggannya sehingga sebati, itulah yang mendatangkan cita rasa yang ‘wah’). Namun tulisan ini bukan ingin memperkatakan panjang lebar berkenaan bab ini, saya hanya akan memfokus kepada perbidalan di atas sahaja : Pada zahir rajo nan disambah, pado batin rakyat nan mamarintah (ini dalam bahasa asalnya Jang, makno de samo jo).
Kenapa pada zahir raja (penguasa) yang disembah (dihormati) dan pada batin rakyat yang memerintah ? 

Jang,

Begitulah amalan demokrasi, kerana yang sebenarnya pemilik tanah pusaka ini adalah rakyat, sebab itu ada PRU mereka yang ingin menjadi raja (penguasa) memohon rakyat mewakilkan kuasa yang hanya ada pada rakyat kepada individu-individu yang bertanding dalam PRU tersebut, sama ada mereka mewakili kelompok/parti atau diri seacara individu yang disebut calon bebas. Jadi, perbidalan menyebut :

Naiknya kerana kita yang memangkah,
Tumbuhnya, kerana kita yang menanam
Besarnya, kerana kita yang melambuk
Tingginya kerana kita yang menganjung

Ertinya juga, kalau bukan kerana kita, mereka tidak akan menjadi raja (penguasa). Tumbuhnya kerana kita yang menanam, besarnya kerana kita yang melambuk, tingginya kerana kita yang menganjung. Kita yang meletakan mereka di situ, mereka dibesar-besarkan oleh orang, kerana kita yang sentiasa memberi sokongan, tingginya atau dihormati dan disanjung oleh orang, kerana kita yang menyanjungnya.
Sebaliknya, jika kita merasa mereka sudah tidak lagi layak untuk menunaikan anamah kita, kita bila-bila boleh ‘cabut kabel beterinya’, putuih Jang, padam somo de, lingkup. Itulah dia yang dimaksud dengan pada batinnya rakyat yang memerintah.

RUMUSAN :

Mereka yang berkuasa (rajo yang disembah) sekarang, mesti ingat bahawa mereka ‘tidak akan menongkat langit’. Pemimpin dalam perbidalan disebut sekadar : ‘Didahulukan selangkah, dituakan seranting’. Maksudnya, jika beliau tersesat langkah, kita rakyat cepat mencapainya agar tidak terbabas/terjatuh.

Itu jo lah yang dapek dek den berkongsi pandangan dengan kau Jang. Patut kau ingat, semuanya ini sekadar ingatan den jo, tak ado buku rujukan yang akademik de Jang. Sekiranya ada pendapat dan pandangan lain amat saya alu-alukan, agar kita mendapat kebenaran. Perbidalan menyebut  : ‘kebenaran yang berdiri sendirinya’, dalam satu perkara, hanya ada satu kebenaran, tidak ada duanya.  

TUTUH JANG SAMPAI MONANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan